Friday 2 October 2015

Ulasan : Ebook Belajar Asas Blog

Teks : Nuraida Mohd Harith

Ebook ini sangat sesuai dijadikan sebagai langkah permulaan bagi memasuki dunia blog. Ia berfungsi sebagai nota yang menerangkan pembelajaran dari segi teori bagi mempelajari asas membina sebuah blog. Ebook ini menekankan perkara penting yang harus diketahui bagi membina penjenamaan diri melalui blog.

Sebelum penjenamaan diri dapat dibina, beberapa maklumat penting diperlukan bagi membuat analisa. Antaranya ialah latarbelakang akademik, pengalaman dan kemahiran. Menerusi soalan analisa yang disenaraikan, pembaca diajak berfikir, mengenal dan menilai kelebihan yang ada pada diri bagi menonjolkan kemahiran yang ada dan menumpukan matlamat yang ingin dicapai.
Antara intipati penting yang ditekankan adalah pentingnya menggunakan nama penuh bagi email, blog dan facebook. Ia akan memberi impak penjenamaan yang lebih profesional.

Selain itu, Ebook ini juga mengupas tentang ciri-ciri blog yang disukai pembaca. Antaranya ialah blog mesti mempunyai fokus, konsisten dengan penulisan, santai dalam penyusunan perkataan, menjaga tips penulisan yang berpengaruh, berinformasi dan mempunyai pembaca sasaran. Ini amat penting supaya kita dapat mengumpul pembaca tetap, seterusnya mendapatkan kepercayaan dari pembaca. Apabila kepercayaan pembaca diperolehi, lebih mudah lagi kita untuk melangkah ke tahap seterusnya yang lebih tinggi iaitu menjana pendapatan melalui blog.

Melalui Ebook ini juga, kita dapat mempelajari gaya tips penulisan yang betul, kepentingan untuk tidak bercampur aduk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mengelakkan dari menggunakan bahasa pasar, kepentingan menggunakan ejaan penuh dan tanda bacaan yang betul serta menjaga tatabahasa asas. Kelebihan ini dapat membantu kita menyediakan blog yang mudah dibaca oleh pembaca, seterusnya membuka peluang untuk menambah bilangan pembaca setia sedia ada.

Ebook ini juga dapat membantu kita menajamkan lagi kemahiran penulisan. Dengan adanya kemahiran dalam bidang penulisan, kita boleh kembangkan lagi dengan memilih salah satu sebagai fokus utama kita sama ada entri penulisan, entri pengiklanan atau menerbitkan Ebook sebagai salah satu dari sumber untuk menjana pendapatan.

Kesimpulannya, Ebook ini merupakan sumber yang baik untuk dirujuk bagi mereka yang ingin belajar asas blog. Harganya yang berpatutan amat berbaloi untuk dijadikan sebagai pelaburan ilmu bagi memantapkan lagi ilmu dalam bidang penulisan dan ilmu menjana pendapatan melalui media secara percuma.

No comments:

Post a Comment